Tujuan asas segmentasi adalah untuk membahagikan sesuatu populasi kepada kumpulan-kumpulan yang berlainan di mana individu-individu dalam setiap kumpulan itu mempunyai keperluan yang serupa. Untuk mensegmentasikan pasaran, berbagai asas/pembolehubah digunakan. Antara asas yang digunakan ialah geografi, demografi, psikografi dan gelagat.
Segmentasi Menggunakan Asas Geografi
Segmentasi menggunakan asas geografi adalah merupakan satu kaedah membahagikan pasaran kepada unit-unit atau kumpulan geografi yang berbeza berdasarkan lokasi (seperti kawasan perumahan, bandar, daerah, negeri dan sebagainya) dan berapa dekatnya (physical proximity) antara pasaran yang hendak di sasar dengan sesebuah organisasi perniagaan itu. Contohnya, pasaraya borong Carrefour telah membuka cawangannya di bandar-bandar utama seluruh Malaysia.
Segmentasi Menggunakan Asas Demografi
Segmentasi menggunakan asas demografi boleh membahagikan pasaran kepada kumpulan-kumpulan menggunakan pembolehubah yang menghuraikan tentang individu seperti jantina, umur, saiz keluarga dan kitaran hayat keluarga, pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan agama.
Demografi merupakan satu asas segmentasi yang popular kerana mudah digunakan dan mudah untuk mendapatkan maklumat sekunder yang berkaitan. Tambahan lagi keperluan pengguna berubah mengikut perubahan ciri-ciri demografinya. Maklumat demografi penting diketahui sebelum asas-asas segmentasi yang lain boleh digunakan secara efektif dalam membuat penilaian saiz pasaran.
Segmentasi Menggunakan Asas Psikografi
Segmentasi menggunakan asas psikografi adalah merupakan kaedah membahagikan pasaran kepada kumpulan-kumpulan berdasarkan kelas sosial (kedudukan dalam masyarakat), gaya hidup dan ciri-ciri personaliti (perwatakan). Faktor psikografi dikatakan boleh membuatkan perbezaan demografi menjadi tidak penting, kerana pengguna dalam demografik yang sama selalunya mempunyai psikografi yang berbeza. Contohnya, suri rumah berusia 30 tahun dari kelas atasan lebih cenderung membeli barangan keperluan di pasar raya, manakala suri rumah berusia 30 tahun dari kelas bawahan pula lebih gemar membeli keperluan hariannya di kedai runcit atau di pasar basah sahaja.
Segmentasi Menggunakan Asas Gelagat
Segmentasi menggunakan asas gelagat membahagikan pasaran kepada kumpulan berdasarkan pengetahuan, sikap, penggunaan dan tindak balas pembeli terhadap sesuatu keluaran atau produk. Pemasar selalunya menggunakan pembolehubah dalam asas gelagat seperti situasi penggunaan, faedah yang dicari, status pengguna, kesetiaan, peringkat kesediaan untuk membeli, dan sikap dalam usaha mentakrifkan segmen-segmen yang wujud dalam pasaran. (Modul UUM)
Ingin maklumat lebih lanjut mengenai segmentasi??gtau aku k....Sharing is Caring

Menurut Maslow, seorang pakar psikologi yang mengkaji tentang keperluan manusia, terdapat lima peringkat/hierarki keperluan manusia.Keperluan fisiologi adalah peringkat pertama atau yang paling asas yang perlu dipenuhi terlebih dahulu. Selepas itu, individu tersebut akan memikirkan pula mengenai keperluan keselamatan (peringkat kedua), keperluan kepada kasih sayang (peringkat ketiga), keperluan untuk penghormatan diri (peringkat keempat) dan akhir sekali keperluan pencapaian diri (peringkat kelima). Kajian yang telah dijalankan terhadap keperluan manusia ini penting kepada pemasar kerana ia telah dapat membantu dalam mengenal pasti produk yang perlu ditawarkan dan diperlukan oleh pengguna. Selain itu, pemasar juga dapat mengenal pasti pelbagai keperluan pengguna bagi menghasilkan pelbagai jenis produk yang dapat memenuhi keperluan tersebut. Konsep asas yang kedua ialah kehendak, iaitu satu bentuk keperluan manusia yang terbentuk oleh persekitaran budaya dan personaliti seseorang melalui proses pembelajaran. Misalnya, setiap orang memerlukan air ketika dahaga tetapi setengah orang berkehendakkan air mineral dalam botol dan sesetengahnya pula lebih suka minum air Coca- Cola. Antara contoh lain yang kita boleh lihat ialah apabila kita lapar. Keperluan sebenar pada masa tersebut adalah makanan yang dapat menghilangkan lapar. Kehendak kita mungkin merupakan mee goreng di warung Ali Mamak, nasi ayam ala Hainan, laksa Penang di Restoran Rasa Utara, nasi lemak bungkus daun pisang atau ayam goreng Marry Brown. Kehendak-kehendak kepada makanan tersebut terhasil berdasarkan kepada makanan harian yang terdapat di negara kita dan kita telah pernah makan atau merasanya. Adakah anda terfikir hendak makan Nacho (sejenis makanan orang Mexico)?