Home Dashboard

Friday 10 June 2011

Apa Itu Pemasaran

Kita selalu mendengar perkataan pemasaran baik melalui media  mahupun melalui orang perseorangan yang terlibat dengan jualan  langsung dan pelbagai pihak lain yang terlibat dengan perniagaan. Pemasaran sering diperkatakan oleh media massa mahupun individu  tertentu. Ini kerana pemasaran banyak mempengaruhi kehidupan harian  kita, sama ada dalam memainkan peranan kita sebagai pengeluar atau pun  sebagai konsumer (pengguna). Pengeluar barangan atau servis sering kali terpaksa memikirkan bagai manakah produknya perlu diedarkan diletakkan harga, diberi nama (jenama), dibungkus dan sebagainya. Sebagai konsumer pula sama ada secara sedar atau tidak, kita juga terlibat dalam aktiviti pemasaran. Banyak keputusan pembelian sesuatu produk yang kita buat adalah berdasarkan apa yang diberitahu kepada kita. Contohnya, kedai di mana kita membeli belah dan barang yang kita beli kebanyakannya berdasarkan kepada iklan yang kita lihat di dalam media atau berdasarkan apa yang selalu dibeli atau disukai oleh ahli keluarga kita.

Kebanyakan daripada kita termasuk juga pengurus-pengurus perniagaan apabila ditanya soalan ini sering menyamakan pemasaran dengan “pengiklanan”, “jualan murah” dan “diskaun”. Adakah anda setuju dengan jawapan tersebut? Jawapannya sebahagian sahaja yang benar iaitu pengiklanan, jualan ataupun diskaun merupakan sebahagian daripada aktiviti pemasaran tetapi tidak membawa maksud pemasaran yang sebenarnya. Pemasaran sebenarnya melebihi dari itu. Maksud pemasaran mempunyai skop yang lebih luas.

Pemasaran mempunyai banyak takrif yang diberikan oleh pakar-pakar pemasaran yang berbeza. Walau bagaimanapun, menurut seorang pakar pemasaran yang sudah dikenali ramai, Kotler (1999) dalam bukunya, Principles of Marketing, mentakrifkan pemasaran sebagai:
"Satu proses sosial ataupun pengurusan di mana individu ataupun kumpulan memperoleh apa yang dikehendaki dan diperlukan sama ada dengan menciptakan sendiri atau melalui pertukaran produk atau nilai dengan satu pihak lain."

Berdasarkan kepada takrif ini dapatlah kita fahami bahawa perkataan pemasaran itu merujuk kepada satu proses di mana seseorang yang berkehendakkan sesuatu produk ataupun servis boleh memiliki produk ataupun servis tersebut dengan mencipta sendiri produk/servis tersebut ataupun menukarkan produk ataupun servis tersebut dengan produk atau servis yang nilainya sama dengan produk tersebut. Contohnya sekiranya anda memerlukan sepasang sepatu, maka:
  1. Anda boleh menciptakannya sendiri dengan mengambil kayu dan tali untuk membuat sepatu; atau
  2. Anda juga boleh membawa beras yang anda miliki untuk ditukarkan dengan seseorang yang mempunyai sepatu dan memerlukan beras; atau
  3. Anda juga boleh membawa sejumlah wang dan pergi ke kedai kasut untuk membeli sepasang kasut yang merupakan satu proses pertukaran nilai iaitu wang dengan sepatu.


Dalam erti kata lain, proses penciptaan atau pertukaran itu sendiri memerlukan satu pihak lain yang mesti melalui satu proses sosial atau pengurusan yang mana beliau seharusnya tahu untuk berhubung antara satu sama lain. Ia merupakan proses awal dalam urusan jual beli ataupun urusniaga. Sebenarnya di zaman dahulu telah pun wujud sistem perniagaan yang berdasarkan kepada pertukaran barangan atau disebut sebagai sistem barter. Kemudiannya, barulah terdapat perantaraan (medium of exchange) iaitu wang sebagai ukuran nilai sesuatu barang yang diterima umum sebagai mekanisme untuk berurus niaga.

No comments:

Post a Comment