Home Dashboard

Saturday 11 June 2011

Jenis-Jenis Penjenamaan

Syarikat yang mengamalkan penjenamaan boleh mengklasifikasikan jenama dengan beberapa cara. Ini termasuk sama ada untuk menggunakan jenama pengeluar, jenama pengedar, jenama keluarga atau jenama individu dan jenama generik. Dalam membuat keputusan tentang penjenamaan, syarikat perlu menimbangkan faedah dan keburukan menggunakan setiap jenis jenama tersebut.

Pelbagai Jenis Jenama Terkenal



Jenama Pengeluar


Satu kaedah mengklasifikasikan jenama adalah berdasarkan siapa pemiliknya. Jenama boleh dimiliki oleh pengeluar atau pengilang. Ia dipanggil jenama pengeluar atau jenama nasional. Contoh jenama pengeluar adalah seperti National, JVC, Gillette, Kodak, Heinz dan Zaitun. Jenama pengeluar lebih dikenali ramai dan dipercayai oleh pengguna kerana kualitinya. Jenama pengeluar juga mudah dikenal pasti dan pihak pengeluar selalunya mengeluarkan berbagai produk alternatif menggunakan jenamanya. Harganya dikatakan paling tinggi berbanding dengan jenama-jenama lain. Di antara kebaikan menggunakan jenama pengeluar ialah pengeluar mempunyai lebih kawalan ke atas saluran pengedarannya. Mereka banyak membelanjakan wang untuk mempromosi jenama di mana pengiklanan lazimnya dibuat secara bersama dengan wakil-wakil penjual. Fokus utama promosi jenama pengeluar ialah untuk menarik dan mengekalkan pengguna yang setia dengan sesuatu jenama di samping mengawal usaha pemasaran untuk jenama tersebut.

Jenama Pengedar/Persendirian

Sekiranya jenama diberikan oleh peruncit atau pemborong, ia dikenali sebagai jenama pengedar atau jenama persendirian. Contohnya: ARO (jenama produk Makro), BESTA dan Mega Computers (jenama komputer yang dijual oleh Encik Saiful). Jenama ini selalunya berharga murah dan ia lebih menarik untuk golongan pengguna yang mementingkan harga yang rendah. Kebanyakan produk jenama pengedar mempunyai kualiti yang lebih kurang sama dengan jenama pengeluar, tetapi aspek pembungkusannya tidak begitu dipentingkan (kurang menarik). Jenama pengedar dibuat mengikut spesifikasi pengedar dan pilihan barangannya terhad. Bagi jenama ARO, hanya pembeli yang berkunjung ke Makro sahaja boleh mendapatkan jenama ini. Ini bermakna, tidak semua pengguna tahu tentang jenama pengedar sekiranya mereka bukan pengunjung kedai di mana jenama pengedar tersebut dijual. Pusing ganti inventori jenama pengedar lebih rendah berbanding jenama pengeluar, tetapi promosi dan kawalan harga menjadi tanggungjawab pengedar. Fokus utama pemasaran jenama pengedar ialah untuk menarik dan mengekalkan pengguna yang setia dengan produk pengedar. Selain itu, terdapat juga syarikat yang menjadi pengeluar dan peruncit pada masa yang sama seperti Globe Silk Store yang menggunakan jenama pengeluar dan jenama pengedar DON.


Jenama Keluarga

Sekiranya syarikat menggunakan jenama yang sama bagi dua atau lebih lini produknya, ia dikenali sebagai jenama keluarga. Contohnya: Del Monte (sos cili dan sos tomato), Maggie (mee, sos cili dan sos tomato), IBM (komputer dan software), dan Sony (radio, tv dan peti sejuk). Jenama keluarga dikatakan berkesan digunakan oleh syarikat yang mengkhususkan pengeluaran lini produknya. Syarikat yang inginkan imej yang sama dengan mempromosikan nama yang sama secara berterusan akan menggunakan jenama keluarga. Satu keburukan menggunakan jenama keluarga ialah apabila terdapat pelbagai produk yang berbeza kualiti (minyak wangi untuk wanita dan minyak wangi untuk lelaki) menggunakan jenama yang sama, ia tidak akan dapat meningkatkan imej produk yang inovatif kepada pengguna.

Jenama Individu

Sesetengah syarikat akan menggunakan jenama yang berbeza bagi setiap produk keluarannya. Ini disebut sebagai jenama individu. Contohnya, syarikat Proctor & Gamble menggunakan jenama Pampers untuk lampin
pakai buangnya, manakala untuk keropok kentangnya ia menggunakan jenama Pringles. Melalui penjenamaan individu, syarikat dapat membentuk pelbagai pemposisian untuk produknya (imej jenama yang berbeza) untuk menarik pelbagai segmen pasaran dan pada masa yang sama menawarkan jenama berharga rendah dan jenama berharga tinggi. Jenama individu juga membolehkan pengeluar mendapatkan ruang jualan yang lebih untuk produknya. Keburukan menggunakan jenama individu ialah setiap produk memerlukan kos promosi yang berbeza dan pengeluaran secara ekonomi bidangan tidak lagi boleh digunakan. Selain itu, produk baru juga tidak dapat menumpang jenama yang telah popular kerana mempunyai jenama yang berbeza. Sebaliknya, ada kemungkinan kanabalisme (cannibalism) di antara jenama berlaku. Ia bermaksud dengan kemunculan jenama baru ia boleh mengurangkan permintaan dan seterusnya mengurangkan jualan jenama produk sedia ada bagi syarikat yang sama. Oleh itu, untuk mendapat faedah daripada jenama keluarga dan jenama individu, kebanyakan syarikat menggunakan kedua-duanya sekali. Contohnya, Honda mempunyai dua lini utama, iaitu Honda dan Acura. Dalam lini Honda, terdapat Honda Accord, Honda Civic dan Honda Prelude. Lini Honda mempunyai satu imej dan ia berjaya menarik sasaran pasaran yang berbeza. Model baru yang dikeluarkan mendapat manfaat dari label Honda tersebut. Jenama individu yang digunakan bagi setiap model (Accord, Civic, dan Prelude) dapat mempromosikan perbezaan yang terdapat pada setiap model tersebut.



Jenama Generik
Maksud generik ialah mempromosikan nama produk dan bukan nama pengeluar atau nama pengedar. Hari ini, nama generik terdapat pada rokok, kopi, kasut sukan, pakaian dalam, dan pelbagai produk makanan seperti tepung dan minyak. Jenama generik menarik pengguna yang inginkan produk berharga murah tetapi percaya produk tersebut mempunyai nilai dan kadang-kadang pengguna sanggup membelinya walau pun kualitinya rendah. Pengguna dalam kategori ini adalah terdiri daripada golongan yang mempunyai keluarga yang ramai atau membeli untuk tujuan perniagaan (pada kos yang rendah). Jenama generik tidak diiklankan dan mendapat layanan kelas dua dari pihak pengedar iaitu produk diletakkan di rak paling bawah. Harganya lebih murah, kurang kualiti, dan ekonomi dari segi pembungkusan, pengedaran dan promosi. Pengguna perlu mencari sendiri produk berjenama generik kerana ia tidak dipromosikan..(Modul UUM)

Ingin maklumat lebih lanjut mengenai PRODUK??gtau aku k....Sharing is Caring

Definisi Produk Dan Komponennya


Sekarang mari kita lihat kepada definisi produk pula. Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan produk? Secara umumnya produk adalah sesuatu yang ditawarkan kepada pasaran yang mempunyai atribut atau sifat-sifat yang dapat menarik perhatian; dapat dimiliki; digunakan dan mempunyai faedah psikologi serta faedah fizikal yang boleh memuaskan kehendak pengguna semasa melakukan pertukaran. Secara ringkas, produk boleh dikatakan sebagai sesuatu yang ditawarkan di pasaran oleh pengusaha dan mempunyai satu set ciri-ciri ketara (tangible) seperti warna, saiz, berat dan harga, dan ciri-ciri tidak ketara (intangible) seperti kepuasan, kecekapan, keberkesanan dan penyelesaian yang mana ciri-ciri tersebut diperlukan oleh pengguna.


Philip Kotler, telah mencadangkan supaya sesuatu produk itu hendaklah di lihat sebagai merangkumi tiga komponen utama, iaitu produk asas (core product), produk ketara (tangible or actual product) dan produk sampingan (augmented product). Cuba kita ambil contoh pembelian sebuah produk – kereta Proton Saga. Apakah yang dimaksudkan dengan produk asas, produk ketara dan produk sampingan bagi Proton Saga? Produk asas (core product) ialah merangkumi tujuan utama seseorang pengguna itu membeli kereta Proton, iaitu apakah sebenarnya yang dibeli oleh pengguna? Kemungkinan tujuannya ialah untuk digunakan sebagai pengangkutan utama ke tempat kerja atau hanya untuk kepuasan kerana dapat memiliki sebuah kereta Proton Saga. Rajah menunjukkan produk asas berada di tengah-tengah produk, iaitu tujuan utama pengguna membeli sesuatu produk. Manakala produk ketara (actual product) pula ialah ciri-ciri yang terdapat pada kereta Proton yang menyebabkan berlakunya pembelian seperti terdapatnya penghawa dingin, radio, kusyen kereta yang cantik, warna yang menarik dan harganya lebih murah daripada kereta jenama lain. Manakala maksud produk sampingan (augmented product) pula merujuk kepada ciri-ciri tambahan yang akan melengkapkan lagi keluaran sesuatu produk. Ianya merupakan faedah atau servis tambahan yang dicari oleh pengguna seperti khidmat selepas jualan, jaminan oleh pihak pengeluar, pemberian kredit, jenama yang terkenal dan keramahan jurujual.(Modul UUM)

Ingin maklumat lebih lanjut mengenai PRODUK??gtau aku k....Sharing is Caring

Pemposisian Pasaran (Market Positioning)


Pemposisian pasaran adalah merupakan satu proses membentuk penempatan/segmen yang berasingan bagi sesuatu produk dan membentuk campuran pemasaran yang lebih teliti. Pemposisian produk pula ialah satu cara sesuatu produk ditakrifkan oleh pengguna berdasarkan ciri-ciri penting atau tempat di mana produk tersebut di tempatkan di minda pengguna berbanding dengan produk pesaing. Contohnya, jika diberi pilihan, pengguna akan memilih untuk berurusan dengan Hong Kong Bank kerana posisi bank ini adalah ia menganggap pelanggannya sebagai rakan (partner). Satu lagi contoh ialah pembeli kereta mewah yang pentingkan keselamatan akan memilih kereta Volvo kerana posisi jenama adalah kemantapan struktur kereta yang dikeluarkan dalam menghadapi sebarang kemalangan. Ternyata pemposisan amat penting dalam usaha organisasi mendapatkan  kelebihan persaingan dalam usaha menarik minat membeli sesuatu  pasaran. Terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan apabila  sesuatu syarikat ingin memposisikan produknya. Keterangan selanjutnya  menghalusi perkara ini. (Modul UUM)

Ingin maklumat lebih lanjut mengenai pemposisian??gtau aku k....Sharing is Caring