Home Dashboard

Friday 10 June 2011

Apakah Keperluan, Kehendak dan Permintaan?


Dalam pemasaran terdapat beberapa konsep asas yang perlu anda pelajari dan fahami kerana ia saling berkaitan antara satu sama lain. Konsep paling asas ialah keperluan (needs). Keperluan merujuk kepada sesuatu kenyataan tentang apa yang amat diperlukan oleh seseorang individu. Ia terhasil secara semula jadi di dalam setiap diri manusia. Seboleh mungkin pengguna akan cuba memenuhi keperluan asas terlebih dahulu sebelum memikirkan mengenai keperluan yang lain. Contohnya, setiap orang memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal sebagai keperluan asas. Keperluan ini juga dikenali sebagai keperluan fisiologi. Tanpa pakaian, tempat tinggal dan makanan, individu tersebut mungkin menjalani kehidupan yang tidak normal.

Menurut Maslow, seorang pakar psikologi yang mengkaji tentang keperluan manusia, terdapat lima peringkat/hierarki keperluan manusia.Keperluan fisiologi adalah peringkat pertama atau yang paling asas yang perlu dipenuhi terlebih dahulu. Selepas itu, individu tersebut akan memikirkan pula mengenai keperluan keselamatan (peringkat kedua), keperluan kepada kasih sayang (peringkat ketiga), keperluan untuk penghormatan diri (peringkat keempat) dan akhir sekali keperluan pencapaian diri (peringkat kelima). Kajian yang telah dijalankan terhadap keperluan manusia ini penting kepada pemasar kerana ia telah dapat membantu dalam mengenal pasti produk yang perlu ditawarkan dan diperlukan oleh pengguna. Selain itu, pemasar juga dapat mengenal pasti pelbagai keperluan pengguna bagi menghasilkan pelbagai jenis produk yang dapat memenuhi keperluan tersebut. Konsep asas yang kedua ialah kehendak, iaitu satu bentuk keperluan  manusia yang terbentuk oleh persekitaran budaya dan personaliti  seseorang melalui proses pembelajaran. Misalnya, setiap orang  memerlukan air ketika dahaga tetapi setengah orang berkehendakkan air  mineral dalam botol dan sesetengahnya pula lebih suka minum air Coca- Cola. Antara contoh lain yang kita boleh lihat ialah apabila kita lapar. Keperluan sebenar pada masa tersebut adalah makanan yang dapat menghilangkan lapar. Kehendak kita mungkin merupakan mee goreng di warung Ali Mamak, nasi ayam ala Hainan, laksa Penang di Restoran Rasa Utara, nasi lemak bungkus daun pisang atau ayam goreng Marry Brown. Kehendak-kehendak kepada makanan tersebut terhasil berdasarkan kepada makanan harian yang terdapat di negara kita dan kita telah pernah makan atau merasanya. Adakah anda terfikir hendak makan Nacho (sejenis makanan orang Mexico)?

Biasanya kehendak kepada makanan atau pun lain-lain barang keperluan tidak terbatas sekiranya kita ada kemampuan kewangan. Maksudnya apabila kita mempunyai sumber kewangan atau kuasa beli, kita akan berkehendakkan kepada pelbagai jenis produk yang ditawarkan di pasaran. Oleh itu, apabila seseorang mempunyai kehendak serta kemampuan untuk membeli, kehendak tersebut akan bertukar menjadi permintaan.

No comments:

Post a Comment