Home Dashboard

Friday 10 June 2011

Segmentasi Pasaran

Tujuan asas segmentasi adalah untuk membahagikan sesuatu populasi kepada kumpulan-kumpulan yang berlainan di mana individu-individu dalam setiap kumpulan itu mempunyai keperluan yang serupa. Untuk mensegmentasikan pasaran, berbagai asas/pembolehubah digunakan. Antara asas yang digunakan ialah geografi, demografi, psikografi dan gelagat. 

Segmentasi Menggunakan Asas Geografi
Segmentasi menggunakan asas geografi adalah merupakan satu kaedah membahagikan pasaran kepada unit-unit atau kumpulan geografi yang berbeza berdasarkan lokasi (seperti kawasan perumahan, bandar, daerah, negeri dan sebagainya) dan berapa dekatnya (physical proximity) antara pasaran yang hendak di sasar dengan sesebuah organisasi perniagaan itu. Contohnya, pasaraya borong Carrefour telah membuka cawangannya di bandar-bandar utama seluruh Malaysia.

Segmentasi Menggunakan Asas Demografi
Segmentasi menggunakan asas demografi boleh membahagikan pasaran kepada kumpulan-kumpulan menggunakan pembolehubah yang menghuraikan tentang individu seperti jantina, umur, saiz keluarga dan kitaran hayat keluarga, pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan agama.

Demografi merupakan satu asas segmentasi yang popular kerana mudah digunakan dan mudah untuk mendapatkan maklumat sekunder yang berkaitan. Tambahan lagi keperluan pengguna berubah mengikut perubahan ciri-ciri demografinya. Maklumat demografi penting diketahui sebelum asas-asas segmentasi yang lain boleh digunakan secara efektif dalam membuat penilaian saiz pasaran.

Segmentasi Menggunakan Asas Psikografi
Segmentasi menggunakan asas psikografi adalah merupakan kaedah membahagikan pasaran kepada kumpulan-kumpulan berdasarkan kelas sosial (kedudukan dalam masyarakat), gaya hidup dan ciri-ciri personaliti (perwatakan). Faktor psikografi dikatakan boleh membuatkan perbezaan demografi menjadi tidak penting, kerana pengguna dalam demografik yang sama selalunya mempunyai psikografi yang berbeza. Contohnya, suri rumah berusia 30 tahun dari kelas atasan lebih cenderung membeli barangan keperluan di pasar raya, manakala suri rumah berusia 30 tahun dari kelas bawahan pula lebih gemar membeli keperluan hariannya di kedai runcit atau di pasar basah sahaja.

Segmentasi Menggunakan Asas Gelagat
Segmentasi menggunakan asas gelagat membahagikan pasaran kepada kumpulan berdasarkan pengetahuan, sikap, penggunaan dan tindak balas pembeli terhadap sesuatu keluaran atau produk. Pemasar selalunya menggunakan pembolehubah dalam asas gelagat seperti situasi penggunaan, faedah yang dicari, status pengguna, kesetiaan, peringkat kesediaan untuk membeli, dan sikap dalam usaha mentakrifkan segmen-segmen yang wujud dalam pasaran. (Modul UUM)

Ingin maklumat lebih lanjut mengenai segmentasi??gtau aku k....Sharing is Caring


1 comment: